Berita

POLIS EDAR FOTOFIT SUSPEK KES LARIKAN KANAK-KANAK 10 TAHUN

Kota Baharu, 17 Nov - Polis telah mengenal pasti seorang lelaki disyaki terbabit kes cuba melarikan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Kampung Aril, Melor di sini pada Jumaat lalu dan sudah mengedarkan lakaran wajah atau 'fotofit' suspek berusia lingkungan 20-an itu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata suspek berbadan kurus tinggi, menggunakan dialek Kelantan dan menaiki kereta Proton Saga lama.

Setakat ini hanya seorang suspek dikenal pasti, katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Sebelum ini akhbar melaporkan seorang kanak-kanak iaitu Irisha Devia  diculik sewaktu menunggang basikal bersama rakan di hadapan rumahnya di Kampung Aril, Melor di sini, Jumaat lalu.

Kanak-kanak itu bertindak nekad melarikan diri dari kereta penculik  tersebut dengan berlari sejauh satu kilometer meredah air paras dada di kawasan  bendang dan semak.

Irisha terpaksa menahan kesakitan apabila badan, tangan dan kakinya terkena duri ketika melarikan diri.

Senior DCP Datuk Mazlan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu segera tampil memberi kerjasama kepada polis.

"Kita tidak mahu kejadian seperti ini berulang dan saya minta orang ramai yang terlihat suspek atau mempunyai apa-apa maklumat mengenainya segera  melaporkan kepada polis di balai polis berhampiran.

"Kami pandang serius kejadian tersebut dan sekiranya tidak diambil tindakan segera berkemungkinan suspek akan kembali bergiat aktif," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan yang dihukum mengikut Seksyen 363 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan. -BERNAMA    
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS