Berita

120 SERTAI SEMINAR PEGAWAI RENDAH POLIS WANITA.

120 SERTAI SEMINAR PEGAWAI RENDAH POLIS WANITA.

Bangi, 28 November – “Pemimpin yang dinamik menggunakan pengetahuan dan keterampilan untuk mencapai matlamat visi dan misi organisasi dan atas dasar inilah seminar ini diadakan bagi tujuan memperkasakan pengetahuan seterusnya memperkemaskan keterampilan pemimpin peringkat penyelia PDRM yang terdiri dari mereka dalam kategori Sarjan hingga ke Sub-Inspektor,” ucap Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Khalid bin Abu Bakar, hari ini.

Berucap semasa Majlis Perasmian Penutupan Seminar Pegawai Rendah Polis Wanita di Institut Latihan Kehakiman Dan Perundangan (Ilkap) Bangi, pagi tadi, beliau turut menambah PDRM harus mengakui bahawa disebabkan tindakan segelintir warganya yang bertindak di luar batasan undang-undang dan peraturan, mereka (PDRM) secara kolektif dianggap sebagai satu entiti yang korup dan tidak berintegriti.

“Persepsi ini harus diperbetulkan dan adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memulihkan imej dan maruah kita di mata masyarakat,” tegas beliau.

Seminar empat hari yang bertemakan ‘Penyeliaan Berkesan Pemangkin Perubahan PDRM’ ini adalah bertujuan bagi melahirkan seorang polis wanita barisan hadapan yang progresif, dinamik dan responsif serta mempunyai peribadi dan kepimpinan sebagai contoh kepada anggota anggota seliaan masing-masing.

Bermula dari 26 November lalu sehingga hari ini, seramai 120 orang penyelia polis wanita dari seluruh negara berpangkat Sarjan sehingga Sub Inspektor telah menyertai seminar ini dengan jayanya.

Turut hadir di majlis penutupan ini ialah CP Datuk Seri Mohmad bin Salleh, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, CP Dato’ Acryl Sani, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), SDCP Dato’ Zubaidah binti Md. Ismail, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).


GAMBAR SEPANJANG MAJLIS











PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS