Berita

SYABU BERNILAI RM5.2 JUTA DIRAMPAS DI MELAKA

Melaka, 23 Dis - Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) bersama polis Melaka merampas syabu dengan nilai pasaran RM5.2 juta dalam serbuan di sebuah makmal haram di Kampung Bukit Tinggi, Jasin semalam.

Timbalan Ketua Polis Melaka, SAC Mohd Shahrizan Che Mat Din berkata dalam serbuan ke atas sebuah rumah di kawasan ladang kelapa itu, polis merampas 38.98 kg (38,980 gram) cecair berwarna perang dan ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu.

"Dengan jumlah yang banyak ini, kita percaya dadah ini untuk pasaran seluruh negara dan tidak menolak kemungkinan untuk pasaran antarabangsa juga," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata turut dirampas dalam serbuan itu ialah bahan kimia berupa asid hidroklorik, ethanol dan acetone serta peralatan memproses dadah seperti dapur gas.
Katanya polis turut menahan dua lelaki tempatan yang masing-masing berusia 41 dan 29 tahun, juga seorang lelaki warganegara India berusia 31 tahun bagi membantu siasatan.

Mohd Shahrizan berkata warga tempatan berusia 41 tahun itu yang bekerja sebagai pemandu lori mempunyai rekod lampau dalam jenayah membabitkan samun, manakala seorang lagi warga tempatan yang bekerja sebagai pemandu teksi dan warga India itu yang bekerja di ladang tidak mempunyai rekod jenayah.

"Siasatan masih dijalankan sama ada operasi (makmal dadah) ini mempunyai kaitan dengan sindiket lebih besar dan kita juga masih menyiasat di mana mereka memperolehi bahan mentah untuk menghasilkan syabu," katanya.

Beliau berkata semua yang ditahan itu direman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS