Berita

SKMM KUMPUL MAKLUMAT INDIVIDU SEBAR BERITA PALSU BERKAITAN BANJIR


Kota Bharu, 29 Dis - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang mengumpul segala maklumat berhubung individu yang menyebarkan berita palsu berkaitan banjir yang melanda Kelantan dan negeri-negeri lain, agar tindakan dapat diambil termasuk didakwa di mahkamah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata hasil maklumat yang dikumpulkan itu akan diserah kepada pihak Peguam Negara bagi tujuan pendakwaan.

"Setiap mereka ini diperhatikan dan yang pentingnya apabila kita mendapat maklumat kita kena berhati-hati bukan sahaja untuk mempercayai tetapi berkongsi maklumat tersebut.

"Berkongsi bermakna, kita menolong menyebarkan maklumat yang salah, apatah lagi maklumat yang palsu, maklumat yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kekacauan dalam masyarakat," katanya kepada pemberita selepas melawat Jabatan Penyiaran Malaysia negeri Kelantan di Wakaf Che Yeh di sini, hari ini, yang turut dinaiki air banjir.

Ahmad Shabery diminta mengulas pelbagai khabar angin yang disebarkan melalui media sosial termasuk aplikasi WhatsApp berkaitan banjir di negeri ini, yang menimbulkan keresahan kepada masyarakat kerana berita tersebut adalah palsu.

"Misalnya cerita tentang budak mati di Jawa (Indonesia), hari ini disebarkan seolah-olah inilah yang berlaku di Kelantan," katanya menambah terdapat juga mesej menyalahkan pihak tertentu dalam soal bencana alam yang sedang menimpa Kelantan.

"Kita akan membuat post mortem selepas ini untuk melihat keseluruhannya sistem menyelamat dan sistem mengurus bencana ini.

"Baru kita katakan siapa yang betul dan siapa yang salah atau bagaimana untuk perbaiki SOP (prosedur operasi standard) pengurusan bencana pada masa akan datang ini yang lebih penting lagi," katanya.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata sistem operasi telekomunikasi seperti telefon bimbit yang terjejas akibat banjir dijangka dapat dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh seminggu sebaik banjir surut di kawasan berkenaan.

"Ada perkhidmatan telefon bimbit yang beroperasi dan ada yang tidak, bergantung kepada syarikat telekomunikasi yang kita langgani dan bekalan elektrik," katanya.

Beliau berkata syarikat telekomunikasi terlibat sedang mengambil tindakan untuk memulihkan perkhidmatan yang terjejas. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS