Berita

PENEMUAN BOM DI SUNGAI BAKAP, EMPAT DITAHAN

George Town, 23 Jan - Ekoran penemuan empat butir bom buatan sendiri di perkarangan sebuah rumah di Jalan Badak Mati, Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan Sabtu lepas, empat lelaki ditahan Selasa lalu.

Mereka yang berumur antara 24 hingga 43 tahun ditahan di sebuah rumah kedai di Jalan Seri Aman, juga di Sungai Bakap.

"Berdasarkan rakaman CCTV yang terdapat di sebuah kedai berhampiran tempat kejadian, kesan cap jari di bungkusan berisi bom itu dan keterangan beberapa pihak, polis berjaya mengesan empat lelaki terbabit di rumah kedai itu," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Mazlan Kesah.

Polis turut menemui barangan yang dipercayai diguna untuk menghasilkan bom dan pelbagai jenis dadah serta tidak menolak kemungkinan, mereka juga merupakan anggota sindiket pengedaran dadah.

Seorang penduduk menemui sebuah beg kertas mengandungi empat butir bom di perkarangan sebuah rumah berhampiran setor simpanan barang.

Tiga daripadanya telah diletupkan Unit Pemusnah Bom manakala sebutir lagi dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang untuk siasatan.

Mazlan berkata polis percaya dengan penahanan empat lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau itu, polis dapat
menyelesaikan kes tersebut.

Mengenai kes pembunuhan seorang remaja di premis mencuci kenderaan di Lebuh Carnavon di sini Rabu lalu, beliu berkata dua anak beranak yang berusia 49 dan 19 tahun yang juga disyaki sebagai suspek utama kes telah ditahan.

"Polis menahan bapanya semalam manakala anaknya ditahan di Jalan Datuk Keramat di sini kira-kira pukul 12.45 tengah malam tadi.

"Berdasarkan siasatan, tiga daripada lapan yang ditahan bagi membantu siasatan kes itu adalah pekerja di premis tersebut manakala lima lagi merupakan rakan mereka," katanya.

Mazlan berkata remaja itu dituduh mencuri mesin janakuasa berharga RM12,000 di premis tersebut.

"Dengan penahanan lapan lelaki termasuk tiga suspek utama kes berkenaan, kami percaya kes itu dapat diselesaikan dan polis juga menemui semula mesin janakuasa itu," katanya.

Mangsa yang dikenali sebagai Muneeswaran, 16, pekerja di premis tidak berlesen itu ditemui mati dengan kesan lebam dan berbirat di seluruh badannya. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS