Berita

ANGGOTA POLIS BAKAL BERENTAP DI PADANG, UJI SEMANGAT KESUKANAN

Kuala Lumpur, 24 Feb - Anggota polis yang menggalas tanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan negara, kini akan memikul satu lagi tugas khas dengan beradu di padang dan diuji semangat kesukanan mereka.

Aksi mereka itu akan dapat disaksikan pada Kejohanan Olahraga dan Tarik Tali Piala Ketua Polis Negara 2015, yang akan berlangsung selama tiga hari di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, bermula esok.

Pengelola Olahraga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor, DSP Dr A. Vasu berkata beberapa atlet kebangsaan merupakan antara anggota yang bakal beraksi pada kejohanan itu.

"Atlet seperti R. Venugopal yang pernah beraksi di kejohanan antarabangsa dalam acara 10,000 meter dan 5,000 meter serta Amelia Musa (1,500 dan 5,000 meter) merupakan antara atlet yang bakal bertanding dalam kejohanan ini.

"Kontinjen Selangor yang menjadi tuan rumah kali ini mendapat mandat khas daripada Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat untuk mengekalkan kejuaraan yang dimenangi selama dua kali berturut-turut sebelum ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata 18 kontinjen dari seluruh negara akan menyertai kejohanan yang berlangsung dua tahun sekali itu, dengan kontinjen Selangor akan menghantar sebanyak 89 atlet.

Untuk rekod, kontinjen Selangor muncul juara pada 2011 dan 2013. Pada temasya 2013, kontinjen Selangor meraih 12 pingat emas, 11 perak dan sembilan gangsa. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS