Berita

NAIK TEKSI DARI AMPANG KE BANTING SEBELUM SAMUN PEMANDU


Shah Alam, 29 April - Polis memberkas tiga individu termasuk seorang wanita selepas mereka menyamun pemandu dan melarikan teksinya di Kampung Sungai Buaya, Banting pada Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Azman Abd Razak berkata suspek yang berusia antara 17 dan 22 tahun itu ditahan oleh unit peronda polis selepas pemandu teksi tersebut menghubungi pihak polis.

Beliau berkata pemandu teksi itu mengambil ketiga-tiga suspek di Stesen LRT Ampang kira-kira pukul 9.30 malam dan bersetuju untuk menghantar mereka ke Banting.

"Namun semasa tiba di Tanah Perkuburan Islam Kampung Buaya, penumpang wanita yang duduk di bahagian belakang mengeluarkan pisau dan mengacunya di bahagian tengkuk pemandu itu.

"Dua penumpang lelaki turut mengacukan pisau ke perut dan leher pemandu teksi tersebut sebelum mengarahkan mangsa memberhentikan teksinya. Suspek kemudiannya merampas wang tunai RM115 daripada pemandu itu sebelum melarikan teksinya," katanya.

Azman berkata mangsa kemudiannya menghubungi Bilik Gerakan Polis Kuala Langat dan unit peronda berjaya mengesan ketiga-tiga suspek kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian.

Beliau berkata ketika melarikan diri, teksi yang dilarikan suspek telah merempuh beberapa buah kereta lain sebelum melanggar pembahagi jalan dan menyebabkan tayarnya pecah.

Akibat pelanggaran itu, dua suspek cedera manakala seorang lagi dilapor tidak sedarkan diri, katanya.

Beliau berkata suspek wanita dan seorang rakannya yang cedera menerima rawatan di Hospital Banting manakala suspek remaja berumur 17 tahun masih tidak sedarkan diri di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS