Berita

PEMILIK KEDAI BARANGAN LUSUH DITAHAN BERSAMA KABEL CURI


Kuala Terengganu, 29 April - Seorang peniaga barangan lusuh di sini ditahan bersama 51 kilogram gumpalan kabel yang dipercayai dicuri.

Kabel itu telah dijual kepada pemilik kedai berkenaan di Kampung Batu Rakit pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata ketika serbuan kira-kira pukul 11.15 pagi itu, pihaknya menemui kabel tembaga dan aluminium di dalam premis yang tidak berlesen tersebut.

Menurutnya dalam siasatan awal, lelaki berusia 28 tahun itu gagal memberi penjelasan berhubung barang-barang yang disimpan dalam premisnya.

"Kita juga turut menemui dan merampas buku catatan rekod jual beli barangan lusuh bagi membantu siasatan.

"Kita dapati sebahagian kabel tersebut tercatat tulisan milik Tenaga Nasional Berhad," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, dalam kes lain, dua lelaki diberkas ketika cuba melarikan kabel tembaga di tapak projek Flat Desa Keluarga di Chendering pada Ahad lepas.

Wan Abdul Aziz berkata kejadian kira-kira pukul 9 malam itu disedari pengurus projek berkenaan yang melakukan rondaan sebelum bertembung dengan suspek yang berusia 30 dan 31 tahun bersama barangan yang dicuri.

"Hasil siasatan mendapati kabel tersebut dicuri dari dua buah rumah flat dan kita merampas kabel elektrik dan kabel tembaga itu yang bernilai kira-kira RM4,000," katanya.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS