Berita

ROSLI AB RAHMAN DILANTIK SEBAGAI KETUA POLIS TERENGGANU YANG BAHARU

Kuala Terengganu, 31 Mei- Timbalan Ketua Polis Kelantan Dato' Rosli Ab Rahman dilantik sebagai Ketua Polis Terengganu yang baharu dengan memangku pangkat DCP bagi menggantikan Dato' Jamshah Mustapa yang bertukar ke Bukit Aman.

Beliau mengambil alih tugas tersebut daripada Jamshah yang dinaikkan pangkat menjadi pemangku Senior Deputi Komisioner Polis (SDC/P) dengan jawatan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

Majlis serah terima tugas antara dan Rosli dan Jamshah itu disaksikan Oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Mohmad berkata beliau yakin kedua-dua mereka mampu menggalas tanggungjawab dan kepercayaan yang diamanahkan dengan pengalaman yang luas dalam bidang kepolisan.

"JIPS merupakan jabatan yang baharu dan masih memerlukan usaha dan idea dalam menentukan para pegawai serta anggota patuhi integriti yang telah ditetapkan oleh PDRM dan saya yakin Jamshah mampu menggalas tugas ini dengan baik.

"Begitu juga dengan Rosli yang mempunyai tanggungjawab yang mencabar namun pengalaman yang luas beliau mampu untuk memimpin Polis Kontinjen Terengganu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu Rosli berkata beliau akan meneruskan usaha dan inisiatif Jamshah dalam merapatkan hubungan antara polis dan masyarakat menerusi beberapa program berkaitan bagi memastikan jenayah di negeri ini terus berkurangan.

Katanya dengan asas kukuh yang ditinggalkan oleh legasi kepimpinan Jamshah, beliau yakin tidak akan berdepan depan masalah dalam menggalas tanggungjawab berkenaan.

Menurutnya antara perkara lain yang menjadi fokusnya termasuk Fenomena 'mat rempit' dan kekerapan berlakunya kemalangan maut khususnya di sekitar kawasan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).

Rosli, 55, yang berasal dari Kampung Bukit Tunggal Kuala Terengganu telah 27 tahun berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).-BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS