Berita

SUAMI ISTERI DITAHAN KES KANAK-KANAK DITANAM DI DAPUR RUMAH

Kuala Lumpur, 31 Mei- Sepasang suami isteri ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat kanak-kanak lelaki yang ditanam di lantai dapur sebuah rumah teres di Taman Usaha Jaya, Kepong.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Ali Ahmad berkata suspek lelaki, 33, disyaki bapa kepada mangsa itu ditahan di sebuah restoran di Keningau, Sabah pada pukul 6.30 petang, semalam.

Polis kemudiannya menahan seorang suspek wanita, 33, disyaki ibu kepada mangsa di Penampang, Sabah pada kira-kira pukul 1 pagi tadi, katanya.

"Kedua-dua mereka akan dibawa dari Sabah ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, dijangka esok, untuk siasatan dan mengambil keterangan berhubung kes ini.

"Polis percaya bahawa mayat kanak-kanak lelaki berusia antara lapan hingga 10 tahun yang ditemukan di dapur itu ialah anak mereka, tetapi hanya dapat disahkan selepas ujian DNA dilakukan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Ali berkata bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak itu telah dilakukan di Hospital Sungai Buloh dan Jabatan Patologi juga masih belum mengenal pasti punca kematian mangsa.

"Mayat berkenaan telah mereput dipercayai telah ditanam selama lapan minggu dan tiada tanda yang jelas mengatakan mangsa didera atau dicederakan," katanya.

Jumaat lepas, satu mayat yang disimen dan mereput yang berbalut kain ditemukan ditanam di lantai dapur sebuah rumah teres di Taman Usaha Jaya, Kepong.

Mayat itu ditemukan susulan kontraktor yang sedang mengubah suai rumah berkenaan memecahkan simen dapur rumah itu.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS