Berita

JANGAN MUDAH TERPENGARUH KUMPULAN MILITAN IS - KETUA POLIS PERAK

Pengkalan Hulu, 29 Julai- Pelajar dinasihatkan lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan kumpulan militan IS yang cuba merekrut anggota baharu khususnya golongan muda menerusi media sosial.

Ketua Polis Perak Dato' Osman Saleh berkata kumpulan itu kini giat memperluaskan ideologi keganasan menggunakan kecanggihan teknologi walaupun kegiatan mereka disekat pihak berkuasa.

"Golongan muda iaitu para pelajar perlu lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan ideologi itu sehingga terjebak dengan kumpulan militan tersebut.

"Jadi pelajar perlu berwaspada dengan pelbagai maklumat di media sosial khususnya yang boleh merosakkan masa hadapan mereka sehingga mengancam keamanan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Perkhemahan Kor Kadet Polis di Padang Kawad Batalion 18, Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Hulu, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Osman meminta pelajar memberikan lebih tumpuan terhadap pelajaran selain menyertai kegiatan kokurikulum sekolah seperti pasukan Kadet Polis dan sebagainya.

"Masa belajar amat penting dan seharusnya pelajar menggunakan peluang yang ada ini untuk meningkatkan diri dalam prestasi pelajaran sebagai persediaan menghadapi alam dewasa.

"Dengan menyertai pasukan beruniform, ia membolehkan pelajar mempunyai disiplin serta jati diri yang tinggi bagi menghadapi dunia luar yang penuh dengan pelbagai cabaran," katanya.

Pada majlis itu, seramai 300 peserta kor kadet polis dari seluruh sekolah menengah di Perak berjaya menamatkan latihan perkhemahan yang bermula sejak Ahad lepas.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS