Berita

POLIS TAHAN EMPAT LELAKI, TUMPAS GENG SAMUN KEDAI SERBANEKA

George Town, 29 Julai- Polis berjaya menumpaskan geng samun kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam selepas menahan empat lelaki dalam dua serbuan di Butterworth dan Permatang Pauh, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Azmi Adam berkata tiga lelaki ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Butterworth pada pukul 1 pagi semalam dan susulan itu seorang lagi lelaki ditahan di Permatang Pauh.

Beliau berkata keempat-empat lelaki berusia 18 hingga 23 tahun itu disyaki terlibat dalam hampir 20 kes samun membabitkan kedai serbaneka di sekitar SPU dan Seberang Perai Tengah sejak beberapa bulan lepas.

"Polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan mereka antaranya tiga motosikal, pisau dan nombor pendaftaraan motosikal palsu," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata dua daripada lelaki yang ditahan itu bekerja sebagai pembantu kantin manakala dua lagi penganggur dan mereka kini direman selama seminggu bagi membantu siasatan.

Azmi ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (STaRT) Kontinjen Pulau Pinang ACP Rosli Hassan yang bertukar ke Bukit Aman sebagai Ketua Penolong Pengarah Pusat Bekalan Polis di Jabatan STaRT.

Jawatan Rosli akan dipangku Pegawai Turus Jabatan STaRT Kontinjen Pulau Pinang ASP Chong Foo Yen. Majlis serah tugas itu disaksikan Ketua Polis Pulau Pinang Dato' Wira Abdul Rahim Hanafi.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS