Berita

TINDAKAN TERHADAP INDIVIDU NIAT CETUSKAN HURU-HARA DI PETALING STREET

Kuala Lumpur, 24 Sept - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan kepada mana-mana individu yang berniat mencetuskan huru-hara di Petaling Street, Sabtu ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, ini termasuklah individu yang mengeluarkan kata-kata berbentuk ancaman seperti di tempat awam atau di media sosial.

 "Jika kami merasakan ia menimbulkan ancaman kepada awam dan boleh mencetuskan rusuhan, polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas solat Hari Raya Aidiladha dan majlis korban di Masjid Bukit Aman, di sini, hari ini.

 Beliau berkata kesalahan ini melibatkan Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan Seksyen 105 Kanun Keseksaan yang memberi kuasa kepada polis untuk menahan sesiapa sahaja untuk mencegah sebarang kesalahan termasuklah rusuhan.

"Saya juga akan panggil pihak penganjur perhimpunan untuk diambil keterangan," katanya.

Datuk Sri Noor Rashid menasihatkan orang awam agar tidak menyertai perhimpunan itu atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan pihak tertentu untuk mengadakan perhimpunan di Petaling Street, Sabtu ini.

Antara lain perhimpunan itu diadakan ialah sebagai membantah kehadiran warga asing yang menjalankan perniagaan termasuklah menjual barangan terlarang dan tiruan di lokasi itu.

 - Bernama

 

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS