Berita

EMPAT GRO DITAHAN POLIS DALAM SERBUAN DI PUSAT HIBURAN

Bukit Mertajam, 26 Sept- Empat wanita warga China yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Keranji, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Rusli Mohd Noor berkata empat wanita berusia 33 hingga 40 tahun itu dan seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun dipercayai penjaga di pusat hiburan berkenaan telah ditahan dalam serbuan kira-kira 10.00 malam.

"Semasa serbuan itu, terdapat beberapa pelanggan sedang berhibur dalam pusat hiburan berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati empat wanita warga China itu tidak mempunyai dokumen perjalanan diri dan permit pekerja," katanya.

Katanya polis turut merampas peralatan pemain DVD, mikrofon, CD lagu dan speaker di pusat hiburan itu.

Pusat hiburan itu pernah diserbu kerana menggaji pekerja asing tanpa permit sebelum ini.

Menurutnya, mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPT untuk disiasat mengikut Seksyen 55 (b) Akta Imgresen 1959/63 dan Seksyen 39 (b) Peraturan Peraturan Imgresen 1963 manakala lelaki berkenaan disiasat di bawah Sek 6 (1) Enakmen Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan 1998. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS