Berita

POLIS MINTA ORANG RAMAI TIDAK BUAT SPEKULASI BERHUBUNG KEHILANGAN BAYI DI MELAKA

Melaka, 25 Nov- Polis Melaka meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kehilangan seorang bayi berusia 12 hari dipercayai diculik di Kota Laksamana di sini petang semalam.

Ketua Polis Melaka Dato' Chua Ghee Lye berkata polis kini sedang mengambil langkah terbaik bagi menyelesaikan kes kehilangan bayi tersebut.

"Buat masa ini polis tidak dapat mendedahkan sebarang maklumat sama ada membabitkan rundingan ataupun wang tebusan kerana ia membabitkan keselamatan serta nyawa bayi tersebut.

"Orang ramai diminta memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan jangan terlalu mudah untuk berkongsi maklumat yang tidak sahih di media sosial sehingga boleh mengundang suasana cemas selain membahayakan nyawa bayi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kehilangan bayi itu disedari anggota keluarganya pada pukul 6.30 petang apabila mendapati bayi tersebut tiada di ruang tamu rumah neneknya, dan semasa kejadian ibu bayi itu sedang berehat di dalam bilik, manakala pembantu rumahnya sedang memasak di dapur.

Bayi berkenaan bersama ibunya yang tinggal di Kuala Lumpur, dikatakan baru beberapa hari tiba di rumah tersebut.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS