Berita

KONTINJEN SELANGOR UNGGULI KEJOHANAN KARATE PIALA KPN

Oleh : Kpl Edwind Indo

Kuala Lumpur, 29 Nov – Pasukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor diumumkan sebagai johan keseluruhan acara karate selepas menewaskan 19 kontinjen Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Kejohanan Karate Piala Ketua Polis Negara ke-14 yang berlangsung  di Kompleks Majlis Sukan Negara, Jalan Raja Muda Aziz, Kuala Lumpur, semalam.

Kejohanan bermula sejak 26 November lalu disertai oleh Kontinjen Bukit Aman, Briged Tengah, Briged Tenggara, Briged Utara, Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Pulapol Kuala Lumpur, Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Sabah dan Terangganu.

Sementara itu keputusan keseluruhan bagi naib johan keseluruhan dinobatkan kepada  Pulapol Kuala Lumpur diikuti oleh kontinjen Sabah tempat ketiga dan Kontinjen PSP pula berada di tempat keempat terbaik.

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang kejohanan telah disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar diiringi oleh Ketua Polis Kuala Lumpur merangkap Pengerusi Jawatan Kuasa Kejohanan Karate Piala KPN 2015, Dato’ Tajuddin Md Isa dan Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM merangkap Pengerusi Majlis Sukan PDRM, Dato’ Pahlawan Zulkifli Abdullah.

Dalam pada itu, keputusan penuh bagi kategori Kumite berpasukan bagi lelaki dan wanita masing-masing diungguli oleh kontinjen Terangganu dan Pahang sementara bagi tempat naib johan dalam kategori yang sama jatuh kepada Kontinjen  Selangor dan Sabah.

“Memandangkan kejohanan ini diadakan dua tahun sekali, sudah pasti setiap pasukan telah membuat persediaan rapi dari segi mental dan fizikal. Ini dapat dilihat daripada aksi-aksi tangkas dan gaya tempur menarik sepanjang perlawanan tadi”, ujar Ketua Polis Negara dalam ucapan penutup beliau.

Beliau berkata, melihat potensi positif sukan itu terhadap pasukannya, PDRM telah menubuhkan Persatuan Karate-Do PDRM sebagai tapak bagi melahirkan lebih ramai jurulatih dan ahli sukan untuk mengharumkan nama PDRM sendiri sehingga di peringkat antarabangsa.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan-timbalan Pengarah PDRM, Ketua-ketua Polis Negeri, Komander dan Komandan, Pegawai Kanan Polis dan rakan media.


Ketua Polis Negara, YDH Tan Sri Dato' Sri Khalid Abu Bakar (tengah) bergambar bersama Pasukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor yang diumumkan sebagai johan keseluruhan acara karate Piala Ketua Polis Negara ke-14 

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS