Berita

WARGA PDRM DISARAN MENJAGA KESIHATAN MENERUSI AKTIVITI CERGAS

Oleh : Kpl Edwind Indo
Penyunting : Insp. Rahim Othman Siru

Kuala Lumpur, 27 Jan – Semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di segenap peringkat diingatkan agar mementingkan penjagaan kesihatan dan sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat menerusi sebarang aktiviti kecergasan yang dianjurkan bagi mengelakkan masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

Pengarah Pengurusan PDRM, Dato' Pahlawan Zulkifli Abdullah berkata, mengikut statistik yang diterima pihaknya seramai 11, 274 atau 10% daripada jumlah 109, 304 warga PDRM kini mengalami masalah kesihatan tersebut.

Berucap dalam majlis perasmian Kem Trim And Fit yang dianjurkan Jabatan Pengurusan pada hari ini di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, beliau memaklumkan bahawa pucuk pimpinan PDRM memandang serius akan perkembangan semasa kesihatan setiap warganya ini.

"Pelbagai aktiviti telah dijadualkan dan dihebahkan di setiap kontinjen PDRM agar amalan gaya hidup sihat termasuklah latihan jasmani dan memilih untuk menggunakan tangga daripada menggunakan lif di pejabat perlu kerap diadakan," ujar beliau.

Kem yang akan berlangsung selama dua hari bermula pagi tadi ini akan melibatkan pelbagai aktiviti menarik seperti aktiviti berkayak, akua zumbarobik serta mendaki gunung pada hari terakhir kem tersebut dijalankan nanti.

Turut hadir bersama-sama memberikan sokongan adalah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Datuk Dr. Narimah Nor Yahya, peserta program ‘Trim and Fit’ dan rakan-rakan media.

_MG_5185
Dari kiri... Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Datuk Dr. Narimah Nor Yahya, Pengarah Pengurusan PDRM, Dato' Pahlawan Zulkifli Abdullah dan Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentabdiran), SAC Azisman Alias

_MG_5257
Aktiviti kecergasan yang dikelolakan oleh Prof Madya Zulkifli Abd Kadir, Pensyarah Sains Sukan UiTM

_MG_5313
Sekitar taklimat 'Resistance Training & Workout For Weight Reduction' oleh Prof Madya Zulkifli Abd Kadir, Pensyarah Sains Sukan UiTM

_MG_5302
Peserta Kem Trim and Fit PDRM bergambar kenangan bersama Prof Madya Zulkifli Abd Kadir, Pensyarah Sains Sukan UiTM

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS