Berita

EMPAT LELAKI DITAHAN DIPERCAYAI TERLIBAT KES SAMUN RUMAH DI KAJANG

Kuala Lumpur, 30 Jan - Empat lelaki dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun rumah di Kajang, ditahan selepas kereta yang dinaiki mereka diarah berhenti untuk diperiksa anggota Ronda Cegah Jenayah balai polis Kajang, awal hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi tadi, kereta berkenaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di sekitar Sungai Chua, Kajang, diperiksa secara menyeluruh oleh anggota polis.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Willey Richard berkata hasil pemeriksaan, polis menjumpai antaranya dua bilah parang masing-masing berukuran 12.5 inci dan 14 inci, sebilah kapak berhulu besi berukuran 14.5 inci, dan tiga penutup mulut.

"Kesemua barang dijumpai diletakkan dalam bungkusan baju panas warna kelabu.

"Pihak kami percaya dengan tangkapan ini, kes-kes samun melibatkan empat lelaki di daerah Kajang dan kemungkinan di lain-lain daerah telah diselesaikan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata berdasarkan semakan nombor pendaftaran kereta dan nombor kad pengenalan kesemua suspek, tiada rekod jenayah dikesan.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS