Berita

16 LELAKI DITAHAN KETIKA LEKA BERJUDI DALAM TALIAN

Kota Tinggi, 31 Jan- Polis menahan 16 lelaki tempatan yang sedang leka berjudi dalam talian di sebuah premis perniagaan di Jalan Besar, Sungai Rengit, Pengerang, di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata kesemua mereka yang berumur 20 hingga 45 tahun itu ditahan kira-kira 1.30 pagi menerusi Op Dadu selepas polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung kegiatan berkenaan.

"Selain penahanan mereka, polis turut menahan dua lelaki tempatan yang merupakan penjaga premis itu selain merampas beberapa peralatan berkaitan judi termasuk 20 komputer riba pelbagai jenama, 20 tetikus pelbagai jenama, enam meja serta kerusi," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Rahmat berkata kesemua lelaki itu kini direman untuk disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti perjudian untuk menyalurkannya ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di talian 07-8837222.-BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS