Berita

EMPAT TERBUNUH DALAM TIGA KEMALANGAN BERASING DI BESUT DAN SETIU

Besut, 31 Jan- Empat terbunuh termasuk dua pelajar dari sekolah menengah dan rendah serta seorang ibu dan bayi 3 bulan dalam tiga kemalangan jalan raya berasingan di daerah Besut dan Setiu dalam tempoh dua hari.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Khaled Che Lah berkata pada pukul 7.20 pagi ini seorang pelajar perempuan Tingkatan 2 Sekolah Menengah Kebangsaan Renek di sini terbunuh dalam perjalanan ke sekolah setelahdilanggar oleh sebuah pancuan empat roda.

Kejadian berlaku ketika dia menyebarang Jalan Tembila untuk ke sekolahnya.

Katanya mangsa dikenali sebagai Nurul Syahindah Mohd Paizu, 14, yang berasal dari Kampung Gong Penaga Jerteh di sini.

Dalam satu kejadian lain seorang pelajar Tahun 1 Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Jerteh maut apabila dilanggar oleh sebuah kereta Perodua Kancil ketika sedang menyeberang jalan di Jalan Kampung Pulau Panjang Jerteh di sini kira-kira jam 8.10 malam tadi.

Mangsa Ahmad Huzaifi Marzuki, 13, berasal dari Semenyih Selangor sedang dalam perjalanan pulang ke rumah datuknya setelah menunaikan fardu Maghrib di masjid.

Dalam pada itu seorang suri rumah dan bayinya yang berusia 3 bulan terbunuh apabila kereta dinaiki yang dipandu oleh suaminya terbabit dalam kemalangan di kilometer 65, Jalan Kuala Terengganu ke Kota Baharu dekat persimpangan Pak Kancil Setiu jam 11.20 pagi semalam.

Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Aisyah Kamaruddin, 28, dan bayinya Hurin Salmah Amuhamadi, 3 bulan.

Mereka meninggal dunia ketika sedang diberikan rawatan di Hospital Setiu, Bandar Permaisuri.

Ketua Polis Setiu DSP Elias Abu Bakar berkata, suami kepada mangsa Amuhamadi Supian, 38, yang memandu kereta Proton Iswara dan dua lagi anak mereka Ani Humsira, 4, dan Sofea Husna, 2, cedera parah dan masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Turut menerima rawatan ialah adik kepada Aisyah, Zulaikha Kamaruddin, 21, yang patah tulang pinggulnya.

Menurut Elias kemalangan itu melibatkan tiga buah kenderaan manakala pemandu kereta lain selamat dan hanya cedera ringan.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS