Berita

PELAJAR SEKOLAH BERASRAMA PENUH DIJUMPAI SELAMAT DI SURAU KKIA

Kota Kinabalu, 24 Mac - Seorang pelajar lelaki sekolah berasrama penuh di sini, yang dilaporkan hilang pada 20 Mac lepas, dijumpai dalam keadaan selamat di surau Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt Azhar Hamin berkata pelajar berumur 14 tahun itu ditemui ketika anggotanya menjalankan Op Ledak di lapangan terbang itu.

"Siasatan lanjut mendapati punca dia tidak melapor diri di sekolah adalah kerana masalah peribadi. Tiada unsur jenayah bersabit kes ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azhar, pelajar itu keluar dari rumahnya di Kudat, 190 kilometer
dari sini, pada pagi 20 Mac lalu untuk kembali ke sekolahnya di sini dengan menaiki bas, tanpa memberitahu ibu bapanya.

Bagaimanapun, pada hari yang sama pihak sekolah memaklumkan ibu bapa pelajar berkenaan bahawa anak mereka belum melaporkan diri di sekolah.

Apabila dimaklumkan mengenai perkara itu serta tidak dapat menghubunginya dengan telefon bimbit, ibu bapa pelajar berkenaan terus pergi ke sekolah anaknya untuk mencarinya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Jame Alip menerusi aplikasi WhatsApp, mengucapkan terima kasih kepada polis atas kecekapan mereka mengatasi masalah yang dihadapi ibu bapa pelajar berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Azhar berkata mayat lelaki berumur dalam lingkungan 50an yang dipercayai terjun dari tingkat 6 bangunan pusat membeli belah Centre Point, di sini pada pukul 5.15 petang, 22 Mac lalu, masih belum dituntut.

Berikutan itu, Azhar meminta orang ramai yang ada kehilangan anggota keluarga agar tampil membantu polis membuat pengecaman.
-BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS