Berita

POLIS TAHAN DUA LELAKI DIPERCAYAI TERLIBAT DALAM KES CURI MOTOSIKAL DI SHAH ALAM

Shah Alam, 27 April- Polis menahan dua lelaki yang dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar bandar raya ini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, pasukan peronda polis terserempak dengan suspek terbabit yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Semasa ditahan untuk pemeriksaan, polis mendapati nombor pendaftaran kedua-dua motosikal yang ditunggangi mereka adalah palsu.

"Pemeriksaan lanjut mendapati motosikal berkenaan dilaporkan telah dicuri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Ulang Tahun Kor Kadet Polis ke-42 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini hari ini.

Shafien berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berumur 25 dan 30 tahun itu mencuri motosikal untuk melakukan kegiatan jenayah.

Sementara itu ketika mengulas mengenai kegiatan jenayah melibatkan pelajar sekolah di daerah ini, Shafien berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan jenayah membabitkan pelajar sekolah sepanjang empat bulan pertama tahun ini.

Katanya, ini disebabkan hubungan akrab yang terjalin antara pihak polis, sekolah dan ibu bapa di sekitar Shah Alam dalam memberi penerangan dan tunjuk ajar bagi membendung pelajar daripada terlibat dengan jenayah.- BERNAMA

 
 
 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS