Berita

7,000 PEGAWAI, ANGGOTA POLIS DITUGASKAN SEPANJANG PRK SG BESAR DAN KUALA KANGSAR

Kuala Terengganu, 30 Mei- Seramai 7,000 pegawai dan anggota polis ditugaskan sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar bulan depan.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata daripada jumlah itu, seramai 5,000 pegawai dan anggota akan ditempatkan di Sungai Besar dan selebihnya di Kuala Kangsar.

"Sehubungan itu, kita minta semua pihak supaya berhemah sepanjang tempoh berkempen dan tidak menimbulkan suasana yang boleh mencetuskan ketegangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Tilawah Al-Quran peringkat Kebangsaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Sharifuddin Abd Ghani dan Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman.

PRK Sungai Besar di Selangor dan Kuala Kangsar di Perak akan diadakan serentak pada 18 Jun ini, dengan penamaan calon pada 5 Jun ini.

Kedua-dua PRK itu diadakan berikutan kematian Anggota Parlimen Sungai Besar Datuk Noriah Kasnon dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Dalam pada itu, Noor Rashid berkata polis tidak akan berkompromi dengan pengguna jalan raya yang menggunakan lorong kecemasan dan akan mengenakan denda maksimum terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu.

Beliau diminta mengulas tentang dua mangsa kemalangan yang meninggal dunia di Kilometer 228 Lebuhraya Utara-Selatan, berdekatan susur keluar tol Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka apabila ambulans lewat tiba kerana lorong kecemasan disalahgunakan oleh pengguna jalan raya.

Kejadian itu menimbulkan kemarahan orang ramai dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kenderaan yang menggunakan lorong kecemasan pada hari kejadian.

Susulan kejadian itu, Jabatan Pengangkutan Jalan mengeluarkan 91 notis temu siasat kepada pemilik kenderaan yang dikesan menggunakan lorong berkenaan, yang jika didapati bersalah, boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM300 seorang.-BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS