Berita

PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT LANGGAR KENDERAAN PACUAN EMPAT RODA

Tawau, 30 Mei- Seorang penunggang motosikal terkorban selepas melanggar bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 16 Jalan Apas di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata dalam kejadian kira-kira 4.10 petang itu, mangsa Mohammad Khairol Joharie Otoh Sibik, 30, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

"Rakan mangsa memberitahu ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Sandakan ke Tawau.

"Semasa mangsa berada di laluan kanan, tiba-tiba kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota yang tidak diketahui nombor pendaftarannya, yang berada di lorong kiri telah mengubah haluan ke kanan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Fadil berkata mangsa tidak sempat mengelak lalu terlanggar belakang kenderaan tersebut dan tercampak daripada motosikalnya.

"Mangsa telah dibawa ke Hospital Tawau oleh orang awam tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS