Berita

LELAKI TERLIBAT KES PECAH MASUK BILIK HOTEL DITAHAN


Iskandar Puteri, 19 Julai - Polis percaya dapat menyelesaikan dua kes pecah masuk bilik hotel dengan tertangkapnya seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Supt Noor Hashim Mohamad berkata suspek ditahan ketika baru keluar daripada kenderaannya yang diparkir di hadapan sebuah premis perniagaan di Jalan Susur GP Prima, Gelang Patah di sini, kira-kira pukul 12.40 tengah hari.

Menurutnya, tangkapan itu susulan laporan yang dibuat seorang mangsa pada 11 Julai lepas yang menyedari beberapa barangan termasuk kereta dan dokumen penting miliknya dilarikan ketika baru saja bangun pagi di sebuah bilik hotel bajet di Taman Nusa Bestari di sini.

Noor Hashim berkata pemeriksaan ke atas kenderaan dipandu suspek menemui pelbagai barangan disyaki hasil kegiatan jenayah antaranya sebilah parang, sepaket plastik lutsinar mengandungi serbuk dipercayai dadah jenis ketamin serta mata wang asing.

"Kenderaan yang dipandunya juga didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dia mengaku berlakon sebagai pelanggan hotel untuk membolehkannya masuk ke dalam bilik yang tidak berkunci sebelum melarikan barangan berharga," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Suspek telah ditahan reman selama tiga hari bermula 18 Julai untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS