Berita

POLIS KELANTAN RAMPAS HEROIN DAN PIL KUDA BERNILAI RM199,800


Kota Bharu, 19 Julai - Polis Kelantan menahan lima lelaki dan seorang wanita dan merampas dadah jenis heroin serta 6,990 pil kuda yang 
bernilai RM199,800 dalam tiga serbuan bermula semalam dan berakhir awal pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan, Dato' Dr Ab Rahman Ismail berkata keenam-enam suspek dipercayai dalang dalam kegiatan pengedaran kedua-dua dadah jenis itu dan mereka ditahan di Kota Bharu, Bachok dan Tanah Merah.

Ab Rahman berkata dalam serbuan pertama di Gunong, Bachok, pada 7 malam semalam, sepasukan Unit Task Force Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Kelantan menahan dua lelaki berusia 27 dan 36 tahun di dalam sebuah kereta.

"Ketika serbuan seorang daripada suspek mencampakkan satu objek bungkusan surat khabar keluar dari kenderaan dan hasil pemeriksaan mendapati bungkusan itu
mengandungi 10 botol plastik cerah.

"Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan menjumpai pula satu balutan surat khabar juga mengandungi 10 botol jenis sama yang mengandungi serbuk putih disyaki heroin dengan berat keseluruhan 102.8 gram bernilai RM40,000," katanya pada sidang akhbar di IPK Kelantan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rahman berkata susulan tangkapan itu polis kemudiannya menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah rumah di Kampung Panchor di sini, pada pukul 11 malam hari sama sebelum menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 62 tahun.

Beliau berkata hasil pemeriksaan yang dijalankan di dalam sebuah bilik di rumah terbabit, polis menemukan satu bungkusan surat khabar mengandungi 10 botol berisi serbuk putih disyaki heroin.

"Pemeriksaan lanjut juga polis menemukan satu bungkusan kekuningan yang di dalamnya terdapat tiga bungkusan kertas mengandungi paket plastik biru berisi 6,000 biji pil kemerahan disyaki pil kuda yang dianggarkan bernilai RM140,000.

Dalam perkembangan sama, Ab Rahman berkata kira-kira 1 pagi hari ini, sepasukan anggota daripada JSJN Tanah Merah menyerbu sebuah rumah di Taman Adabi, Tanah Merah dan menahan seorang lelaki berusia 25 tahun di hadapan rumah tersebut.

Beliau berkata hasil pemeriksaan yang dilakukan di dalam rumah terbabit turut menemukan 990 biji pil kemerahan disyaki dadah jenis pil kuda bernilai RM19,800.

Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 19 hingga 25 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS