Berita

BMI IDEAL SYARAT WAJIB SAH JAWATAN, NAIK PANGKAT DALAM PASUKAN

Kuala Lumpur, 21 Julai – Lanjutan daripada Program Trim & Fit yang telah dilaksanakan sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar telah bersetuju program ini akan dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 Januari 2018 dan menjadi salah satu syarat bagi kenaikan dan pengesahan pangkat serta lain-lain yang berkaitan kerjaya warga PDRM.

Sebelum itu, Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dato’ Sri Zulkifli Abdullah telah mencadangkan supaya Indeks Jisim Tubuh (BMI) ideal yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia akan menjadi salah satu syarat wajib bagi pengesahan jawatan dan kenaikan pangkat dalam Skim Perkhidmatan PDRM.

Berucap sempena Perasmian Penutup Program Trim & Fit 2016 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur hari ini, Tan Sri Khalid menjelaskan PDRM amat menekankan soal berat ideal ini bersama-sama dengan ujian Physical Ability Requirement Evaluation (PARE Test) yang mengukur tahap kecergasan atau ‘Fitness Level’di mana ianya menentukan implikasi kepada masa depan kerjaya seseorang warga beruniform PDRM.

“Tujuannya adalah untuk memastikan warga PDRM mempunyai tahap kesihatan yang baik dan bukannya untuk menyeksa atau menafikan hak sesiapa kerana selain mempunyai tubuh badan yang langsing, mereka wajar mempunyai tahap kecergasan yang baik bagi melaksanakan tanggungjawab harian,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sebagai anggota penguatkuasa di barisan hadapan, seorang anggota PDRM perlulah menjaga keterampilan mereka kerana ia mencerminkan imej PDRM secara keseluruhannya kerana sejak dahulu lagi, PDRM amat menekankan warganya tentang sahsiah diri agar menjadi ikutan serta contoh tauladan kepada masyarakat luar.

Dalam pada itu, kumpulan rintis Program Trim & Fit 2016 telah selesai dilaksanakan selama tempoh enam bulan dan sebahagian besar daripada 35 peserta yang terlibat telah berjaya menamatkan cabaran dengan menyaksikan kesemua peserta berjaya mencatatkan penurunan berat badan sehingga 21 kilogram serta penurunan lemak badan, ukur lilit pinggang, kandungan gula dalam darah, kolestrol dan tekanan darah.

Program Trim & Fit 2016 juga dijayakan dengan bantuan daripada Cawangan Pemakanan, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia dan bantuan tenaga pengajar fizikal yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Zulkifli Abd Kadir dari Fakulti Sains dan Rekreasi UiTM.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim, Pengarah-pengarah dan Pegawai-pegawai Kanan PDRM serta wakil-wakil media.

_MG_0314
Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar  ketika menyampaikan ucapannya.

_MG_0178
Hasil keberkesanan program ditayangkan.

_MG_0211
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman menyerahkan Modul Pengurusan Berat Badan Trim & Fit PDRM kepada Ketua Polis Negara.

_MG_0243
Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya, Datuk Dr. Narimah Nor Yahya menyampaikan Perakuan PDRM selaku agensi kerajaan pertama menganjurkan Program Trim & Fit kepada Ketua Polis Negara.

_MG_0200
Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar menyampaikan sijil penyertaan kepada Dato’ Sri Zulkifli Abdullah.

_MG_0292
Gambar kenangan.

_MG_0374
Demo Physical Ability Requirement Evaluation (PARE Test).

_MG_0352
Demo Physical Ability Requirement Evaluation (PARE Test).

_MG_0408
Peserta-peserta Trim & Fit PDRM 2016.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS