Berita

TERIMA KASIH DATO’ MORTADZA NAZARENE!

Kuala Lumpur, 25 Julai – Berkuatkuasa 26 Julai 2016, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Dato’ Sri Mortadza Nazarene akan menjalani persaraan wajib dan menyaksikan JSJK akan melalui perubahan tampuk pimpinan di mana selepas ini ianya akan diterajui oleh Dato’ Acryl Sani Haji Abdullah Sani, yang akan juga akan menyerahkan jawatan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) yang selama ini disandangnya kepada Dato’ Rusli bin Ahmad.

Dalam Majlis Pemakaian Pangkat, Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah JSJK dan Pengarah JPJKK di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur hari ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar dalam ucapannya berkata, meskipun persaraan Dato’ Sri Mortadza ini merupakan satu kehilangan besar dalam pasukan, namun khidmat baktinya masih amat diperlukan kepada masyarakat dan negara.

Mengenang kembali sejarah perkhidmatan beliau, Dato’ Sri Mortadza memulakan kariernya pada tahun 1984 sebagai Kadet Asisten Superitendan Polis (ASP) dan selama tempoh awal perkhidmatannya, beliau telah mempamerkan kecemerlangan tugas dalam mengendalikan kes-kes jenayah sehingga membawa kepada kejayaan dalam pasukan.

Kerjaya beliau terus bersinar apabila dilantik sebagai Ketua Makmal Forensik pada 2001 dan dipertanggungjawabkan untuk membangunkan Makmal Forensik dari aspek fizikal dan teknikal, termasuklah menyusun atur latihan dan sumber manusia makmal.

Atas sebab corak kepimpinan yang cemerlang, beliau seterusnya diberi kepercayaan menggalas jawatan-jawatan penting sebagai Ketua Polis Melaka, Pesuruhjaya Polis Sarawak dan seterusnya menerajui Jabatan Pengurusan PDRM dan sehingga kini mengakhiri kerjayanya sebagai Pengarah JSJK yang disandang sejak 17 Februari 2014.

Mendirikan rumahtangga dengan Prof. Madya Datin Sri Dr. Fatimah Moosa yang juga merupakan Pengerusi PERKEP JSJK sebelum ini, beliau dikenali sebagai seorang individu yang riang dan kelakar namun tegas dan professional semasa bertugas.

Dalam pada itu, majlis pada hari ini telah menyaksikan upacara Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah JSJK daripada Dato’ Sri Mortadza Nazarene kepada Dato’ Acryl Sani Haji Abdullah Sani, upacara Serah Terima Tugas Pengarah JPJKK daripada Dato’ Acryl Sani Haji Abdullah Sani kepada Dato’ Rusli bin Ahmad serta Upacara Serah Terima Tugas Jawatan Pengerusi PERKEP JSJK daripada Prof. Madya Datin Sri Dr. Fatimah Moosa kepada Datin Ir Zaitun Mohd Isa dan Upacara Serah Terima Tugas Jawatan Pengerusi PERKEP JPJKK daripada Datin Ir Zaitun Mohd Isa kepada Datrin Azmah Abd. Karim.

Turut diadakan juga, upacara pemakaian lencana kenaikan pangkat kepada 33 Pegawai Kanan PDRM.

_MG_0563
Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, DCP Dato' Shamsiah Mohd Shariff selaku pendahulu penerima lencana kenaikan pangkat daripada Ketua Polis Negara.

_MG_0572
Ketua Penolong Pengarah (E8) Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, DCP Dato' Ayob Khan Mydin Pitchay ketika menerima lencana kenaikan pangkat DCP daripada Ketua Polis Negara.

_MG_0712
CP Dato’ Acryl Sani Haji Abdullah Sani ketika menyerahkan 'Tongkat Kuasa' Pengarah Jabatan JPJKK  PDRM kepada CP Dato’ Rusli Ahmad.

_MG_0781
CP Dato’ Sri Mortadza Nazarene menyerahkan dokumen Jawatan Pengarah Jabatan JSJK PDRM kepada CP Dato’ Acryl Sani Haji Abdullah.

_MG_0824
Datin Ir Zaitun Mohd Isa menyerahkan dokumen Jawatan Pengerusi PERKEP Jabatan JPJKK kepada Datin Azmah Abd. Karim sambil disaksikan oleh Pengerusi PERKEP Malaysia Puan Sri Dato' Imran Ibrahim.

_MG_0846
Prof. Madya Datin Sri Dr. Fatimah Moosa menyerahkan dokumen Jawatan Pengerusi PERKEP Jabatan JSJK kepada Datin Ir Zaitun Mohd Isa sambil disaksikan oleh Pengerusi PERKEP Malaysia Puan Sri Dato' Imran Ibrahim.

_MG_0905
Gambar Kenankan Majlis Serah Terima Tugas.

_MG_1263
Dato’ Sri Mortadza Nazarene ketika diarak pada Majlis Paluan Berundur Pengarah Jabatan JSJK PDRM.

_MG_1310
Dato’ Sri Mortadza Nazarene bergambar bersama keluarga.

_MG_1362
Dato’ Sri Mortadza Nazarene bersalaman bersama Ketua Polis Negara sebelum beredar daripada majlis tersebut.
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS