Berita

POLIS SAHKAN ANCAMAN BOM DITERIMA KOLEJ DI BANDAR UTAMA PANGGILAN PALSU

Petaling Jaya, 10 Okt 2016 - Polis mengesahkan panggilan ancaman bom yang diterima oleh pihak pengurusan sebuah kolej di Bandar Utama, di Persiaran Utama, di sini, adalah panggilan palsu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai ancaman bom berkenaan pada 12.30 tengah hari tadi daripada polis bantuan di kolej berkenaan.

Berikutan itu, sepasukan unit bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dikejarkan ke lokasi dan pemeriksaan di sekitar kolej berkenaan mendapati tiada apa-apa objek yang meragukan ditemui.

Beliau berkata maklumat awal panggilan itu diterima staf kolej, V. Tamarai Manggai, 25, daripada seorang lelaki yang tidak memperkenalkan diri dan memaklumkan "Your college got bomb, student put the bomb" (Kolej anda ada bom, pelajar meletakkan bom itu).

"Susulan itu, kakitangan kolej tersebut memaklumkan kepada polis bantuan kolej berkenaan dan sepasukan polis unit bom dari IPK Selangor dan unit anjing pengesan K9 dari IPK Kuala Lumpur dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Tindakan polis memindahkan kira-kira 1,600 pelajar dan staf di kolej itu keluar dari bangunan dan dibawa ke tempat selamat, bagaimanapun, pemeriksaan mendapati tiada sebarang objek yang mencurigakan ditemui," katanya.

Mohd Zani berkata kesemua pelajar dan kakitangan kolej berkenaan dibenarkan masuk kembali ke bangunan itu pada kira-kira 2.30 petang tadi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS