Berita

PPM TAMPIL DENGAN IDEA BARU KE ARAH PERKHIDMATAN CEMERLANG

Klang, 14 November 2016 – Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dato’ Jalaluddin Abdul Rahman dalam ucapannya pada hari ini telah menuntut warga Pasukan Polis Marin (PPM) untuk lebih kreatif dan berinovatif serta berdaya saing dalam mencari idea-idea baru khususnya dengan menggunakan pendekatan Strategi Lautan Biru Nasional (NBOS) ke arah menghasilkan perkhidmatan yang berkualiti tinggi.

Berucap sempena Majlis Perasmian Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Pelabuhan Klang, Selangor hari ini, beliau berkata semua aset dan personal yang sedia ada perlu dioptimumkan penggunaannya sebagai penanda aras komitmen PPM kepada PDRM sekaligus menjadikan prestasi cemerlang PPM adalah manifestasi serta bukti nyata keupayaan satu pasukan yang bergerak secara kolektif yang berlandaskan semangat setiakawan.

Beliau yang juga pernah menggalas tugas sebagai Komander PPM pada tahun 2006 itu juga berharap agar orang ramai akan menjadikan Kompleks Markas Operasi PPM Wilayah 1 ini sebagai medan rujukan bagi mendapatkan maklumat dan sebagai simbol keakraban hubungan antara PPM dengan masyarakat dalam usaha mengesan dan membanteras pelbagai aktiviti jenayah yang berlaku di kawasan perairan negeri Selangor ini.

Pembangunan Kompleks Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pelabuhan Klang , Selangor merupakan antara projek Kerajaan Persekutuan dan PDRM yang sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan polis di negara ini termasuk menjaga aspek kebajikan warga polis.

Projek pembinaan ini bermula pada 1 Julai 2005 dan telah siap pembinaannya pada bulan Mac 2009 merangkumi sebuah bangunan pejabat pentadbiran setinggi tiga tingkat, sebuah blok bangunan kejuruteraan, empat buah blok rumah kediaman pegawai anggota serta pelbagai kemudahan lain seperti kompleks sukan, dewan komuniti, jeti, rumah kelab, padang kawad, taman permainan kanak-kanak dan surau.

Kompleks ini telah mula beroperasi sejak bulan Oktober 2009. Kini, ianya mempunyai 115 kekuatan yang diketuai oleh seorang Pegawai Pemerintah berpangkat Timbalan Penguasa Polis.

Kewujudannya dilihat begitu strategik, efektif dan sebagai ‘maritime security domain’ dalam mengawal keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di perairan Selat Melaka yang merupakan laluan tersibuk bagi aktiviti perkapalan dan urusan perdagangan di laut.

IMG_5643
Kawalan Kehormatan.

IMG_5654
Pemeriksaan kawalan kehormatan oleh Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dato’ Jalaluddin Abdul Rahman..

IMG_5741
Gimik Perasmian Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Pelabuhan Klang, Selangor

IMG_5836
Persembahan 'Fleet Review' oleh PPM..

IMG_5859
Sesi penyampaian cenderahati kenang-kenangan...

IMG_5876
Sesi bergambar kenangan...
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS