Berita

PADAH MENYAMAR POLIS UNTUK MENYAMUN, 2 LELAKI DICEKUP POLIS SEBENAR

Bukit Mertajam, 27 Jan. 2017 - Dua lelaki yang menyamar sebagai polis dicekup ketika cuba melakukan samun di kedai di sini, 4.30 petang tadi.

Dalam kejadian itu, seorang daripada lelaki berkenaan yang lengkap memakai jaket pemantul cahaya dengan logo polis itu datang dengan kereta ke kedai di Jalan Kulim, dekat sini.

Difahamkan, suspek mendakwa mahu mengambil sebuah motosikal milik pekerja di situ kononnya bagi membantu siasatan kes samun di daerah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, sangsi dengan dakwaan dan tingkah laku suspek, pekerja berkenaan bertindak menghubungi balai polis berhampiran.

Beliau berkata, sejurus pihak polis tiba, suspek tergamam dan gugup serta gagal mengemukakan pengenalan diri sebagai anggota polis seperti didakwa mereka.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan milik seorang daripada suspek, polis menemui lima pisau dan pedang berukuran satu meter dipercayai bagi tujuan samun.

"Semakan juga mendapati kedua-dua suspek berusia 28 dan 34 tahun mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan kes lain.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 6(1)Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata berbahaya,” katanya.

Sumber: Harian Metro

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS