Berita

POLIS TELAH SELAMATKAN 250 MANGSA PEMERDAGANGAN ORANG DI SABAH DALAM TAHUN INI

Tawau, 11 Mei 2017 - Polis Sabah menyelamatkan 250 mangsa pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di negeri ini sepanjang tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkata ia membabitkan 60 mangsa pemerdagangan orang serta 190 mangsa penyeludupan migran yang dibawa masuk untuk bekerja sektor seperti perkhidmatan, perladangan selain eksploitasi seks.

Dalam tempoh sama, katanya, seramai 19 individu disyaki dalang pemerdagangan orang, selain 42 tekong bot termasuk mereka yang membawa masuk migran ditahan.

"Sabah negeri paling banyak membuat tangkapan berkaitan pemerdagangan orang dengan kebanyakan kes dikesan di pantai timur negeri ini memandangkan kita berdepan cabaran pesisiran pantai yang luas dan panjang.

"Antara mangsa diselamatkan adalah kanak-kanak berusia 11 hingga 13 tahun yang bekerja di kedai makan dan premis cuci kenderaan," katanya selepas penutupan Bengkel Pemberitaan Pemerdagangan Manusia di sini, hari ini.

Bengkel itu dianjurkan Institut Akhbar Malaysia (MPI), Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Majlis Anti-Pemerdagangan Manusia dan Anti-Penyeludupan Migran (MAPO).

Bengkel kali ketujuh yang berlangsung selama tiga hari sejak Selalu lalu disertai 45 wartawan media cetak dan elektronik dari Semenanjung, Sabah serta Sarawak.

Terdahulu dalam ucapannya, Ramli berkata, walaupun Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat berhubung Pemerdagangan Orang (TIP) menunjukkan Malaysia kini berada pada Tier 2, kerjasama pelbagai masih perlu dipertingkatkan.

Katanya, di sinilah media memainkan peranan penting melaporkan berkaitan ancaman penyeludupan manusia, selain memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung usaha menanganinya.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) serius memerangi penyeludupan manusia, namun kita memerlukan bantuan pelbagai pihak.

"Masyarakat kena mengubah sikap bahawa usaha menangani kegiatan jenayah ini bukan hanya terletak pada polis sahaja, sebaliknya semua pihak seperti pihak berkuasa, swasta, media dan orang ramai," katanya.

Sumber: Berita Harian Online

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS