Berita

KES PELAJAR DIBULI SENIOR: POLIS TELAH RAKAM PERCAKAPAN 10 SUSPEK YANG DIGANTUNG SEKOLAH

Enam pelajar tingkatan dua sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Parit, Perak, dipercayai menjadi mangsa buli pelajar senior sehingga mengalami kecederaan fizikal di badan.

Dalam kejadian berlaku pada 5 Mei lalu, enam pelajar itu dipercayai dibuli oleh 10 senior tingkatan tiga dan empat berikutan salah seorang daripada mangsa enggan meminjamkan kasut bola.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, polis menerima enam laporan daripada semua mangsa sehari selepas kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Katanya, polis sudah mengambil rakaman percakapan 10 pelajar senior berkenaan dan mereka kini dipercayai sudah digantung sekolah.

"Semua mangsa tidak mengalami kecederaan teruk, cuma lebam-lebam di badan dipercayai dipukul menggunakan tangan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan mendatangkan kecederaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di sini, hari ini.

Sumber: Harian Metro

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS