Berita

POLIS TUMPASKAN PENJENAYAH 'GENG NAVARA' DI KEDAH

Alor Setar, 29 Mei 2017 - Polis menahan tiga lelaki ahli geng Navara yang aktif melakukan kegiatan samun secara berkumpulan di sekitar daerah Sik, sejak dua minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid, berkata pihaknya menerima maklumat terdapat cubaan samun ke atas seorang penyelia ladang di Kampung Batu Lima, Sik, dekat sini, jam 8.40 pagi, Rabu lalu.

Katanya, anggota polis yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati tiga suspek berusia 21 tahun hingga 32 tahun berasal dari Selangor sudah ditahan penduduk kampung terbabit.

"Siasatan mendapati, suspek mengaku sebagai polis dari Bukit Aman dengan menunjukkan pistol dan cota kepada mangsa yang menaiki Toyota Hilux, yang dalam perjalanan ke ladang.

"Pemeriksaan menemui sepucuk pistol mainan, enam bilah parang, sebilah kapak, sembilan telefon bimbit, allen key yang diubah suai, satu walkie talkie, modem dan power bank.

"Kita juga merampas sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Navara, yang dinaiki suspek, manakala dua lagi rakan suspek yang menaiki Proton Saga berjaya melarikan diri," katanya di pejabatnya, di sini.

Mior Farid berkata, semua suspek juga mempunyai rekod lampau membabitkan dadah, samun dan pemilikan senjata.

"Suspek direman empat hari bermula hari ditahan sebelum tempoh terbabit dilanjutkan tujuh hari bermula hari ini," katanya.

Sumber: Berita Harian Online

 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS