Berita

OP SELAMAT 11: SASARAN MINIMUMKAN KES JENAYAH, KEMALANGAN TERCAPAI

Kuala Lumpur, 6 JULAI 2017 – Berdasarkan statistik, objektif utama Op Selamat 11/2017 bagi meminimumkan jenayah pecah rumah serta kemalangan jalan raya sepanjang perayaan Aidilfitri bermula 18 Jun lalu telah berjaya direalisasikan sekaligus membuktikan keberkesanan strategi Polis Diraja Malaysia pada kali ini.

Meskipun mencatatkan peningkatan jumlah kemalangan sebanyak 22,402 kes berbanding 20,982 kes pada Op Selamat sempena Aidilfiri pada tahun sebelumnya, kes kemalangan maut telah menurun sebanyak 34 kes atau 12 peratus berbanding Op Selamat 9/2016, iaitu 239 kes kemalangan maut berbanding 273 kes pada tahun sebelumnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar dalam kenyataannya pada hari ini berkata, penunggang dan pembonceng motosikal masih mendominasi jumlah kematian iaitu sebanyak 170 korban nyawa namun angka tersebut turut menunjukkan penurunan kadar kematian sebanyak 17 kes atau 9 peratus berbanding tahun 2016.

Tambahnya lagi, analisis daripada Op Selamat pada kali ini menunjukkan faktor terbabas sendiri merupakan punca utama kemalangan maut dan dan disokong oleh faktor-faktor kecuaian, kelalaian, gagal mematuhi peraturan jalan raya seperti melawan arus trafik, memotong kenderaan atau menukar lorong secara berbahaya, keluar dan masuk simpang dengan cuai, mengekori kenderaan lain terlalu rapat dan membuat pusingan ‘U’ secara membahaya diri dan orang lain.

Berucap sempena Majlis Anugerah Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 11/2017 Sempena Hari Raya Aidilfiri 2017 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebentar tadi, beliau turut memaklumkan sepanjang Op Selamat 11/2017 berlangsung, sebanyak 6,309 operasi telah dijalankan di mana jumlah saman yang dikeluarkan adalah sebanyak 277,832 di atas pelbagai kesalahan.

Dalam pada itu, kes pecah rumah juga turut mencatatkan penurunan sebanyak 165 kes atas 21 peratus bebanding tahun lepas iaitu penurunan daripada 794 kes kepada 629 kes.

Op Selamat pada kali ini turut merekodkan beberapa kejayaan tangkapan menerusi Op Bersepadu bersama Agensi Penguatkuasa sepanjang Op Selamat 11/2017 berlangsung dan menyaksikan 29 orang didapati positif dadah daripada 228 ujian saringan air kencing yang dijalankan.

Turut diadakan pada hari ini, upacara memperkenalkan Ikon Op Selamat di mana penyampai radio Suria FM, saudara Halim Othman dan Muhd Hafizudin Alimudin telah dinamakan sebagai ikon Op Selamat pada kali ini atas usaha mempromosikan Op Selamat 11/2017 di media elektronik sepanjang operasi ini diaksanakan.

Majlis pada hari ini turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad (TM), Dato’ Sri Mohammed Shazalli Ramly, Penagarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohmad Salleh, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Dato’ Tajudin Md. Isa, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, SAC Sharul Othman Mansor, Ketua-ketua Polis Negeri, Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan serta NGO, Pegawai-pegawai Kanan TM dan PDRM, agensi-agensi penyelamat serta wakil-wakil media.

_MG_1761
Ketibaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar bersama tetamu kehormat.

_MG_1808
Antara barisan Pengarah PDRM yang hadir.

_MG_1921
Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang -Tempat Ketiga Kategori Kontinjen Terbaik Op Selamat 11/2017.

_MG_1927
Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor -Tempat Kedua Kategori Kontinjen Terbaik Op Selamat 11/2017.

_MG_1941
Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis -Johan Kategori Kontinjen Terbaik Op Selamat 11/2017.
_MG_5137
Ikon Op Selamat 11/2017, saudara Halim Othman dan Muhd Hafizudin Alimudin.

_MG_1957
Gambar kenangan.
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS