Berita

STAGG: LAGI WANITA WARGA ASING DIPAKSA JADI GRO BERJAYA DISELAMATKAN DI JOHOR

Johor Bahru, 13 Julai 2017 - Seramai 19 wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) diselamatkan Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman, dalam serbuan serentak di tujuh premis pelacuran di bandar raya ini, malam tadi.

Ketua operasi, Superintendan Mohd Shokri Abdullah, berkata dalam serbuan Op Noda bermula jam 7.50 malam itu, polis turut menahan 36 GRO warga asing dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

"Keseluruhan serbuan polis memeriksa 55 wanita warga asing terdiri daripada warga negara China, Vietnam dan Thailand, manakala kita berjaya menyelamatkan 19 wanita berusia antara 23 hingga 35 tahun.

"Hasil risikan mendapati modus operandi digunakan premis adalah pelanggan boleh memilih GRO menggunakan aplikasi WeChat dengan bayaran antara RM150 hingga RM250," katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.

Mohd Shokri berkata, operasi dijalankan STAGG Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor membabitkan kekuatan 15 pegawai dan 30 anggota.

"Semua wanita yang diselamatkan sebelum ini dijanjikan pekerjaan sebagai tukang urut oleh majikan, namun dieksploitasi sebagai pekerja seks dan dikurung oleh majikan mereka.

"Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan Akta Imigresen," katanya. Mohd Shokri berkata, semua yang ditahan akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan untuk tindakan selanjutnya.

Sumber: Berita Harian Online

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS