Berita

KES IBU LACUR ANAK SENDIRI: LIMA LELAKI BANGLADESH DITAHAN BAGI MEMBANTU SIASATAN

Polis Johor menahan lima lelaki Bangladesh berusia 28 hingga 42 tahun di sebuah kilang di Senai, Johor, awal pagi tadi, bagi membantu siasatan kes dua kanak-kanak dijual ibu kandung sebagai hamba seks sejak September lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dalam satu kenyataan berkata, kelima-lima lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, polis membawa semua suspek ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, tengah hari semalam dan mendapat perintah tahanan reman selama 14 hari sehingga 13 November ini bagi membantu siasatan.

"Semua tangkapan itu susulan siasatan ke atas ibu dua mangsa berusia 36 tahun yang diberkas di rumahnya di Taman Bintang, Senai, pada 25 Oktober lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.

Semalam, Mohd Khalil dipetik sebagai berkata, pihaknya menahan seorang ibu tunggal di rumahnya di Taman Bintang, Senai, pada 25 Oktober lalu kerana disyaki melacurkan dua anak kandungnya berusia 10 dan 13 tahun kepada sekumpulan lelaki warga Bangladesh.

Wanita berkenaan dipercayai melacurkan anak-anaknya kepada lelaki warga Bangladesh yang juga kenalannya dengan bayaran RM50 bagi setiap kali melakukan seks.

Suspek dikatakan akan membawa kedua-dua mangsa ke bilik hotel bajet di Larkin Perdana, Johor Bahru, setiap Jumaat, sebelum meninggalkannya bersama lelaki warga asing berusia 30-an.

Pada masa sama, suspek dipercayai tinggal di bilik berasingan bersama teman lelakinya yang juga salah seorang lelaki Bangladesh yang dikenalinya sejak lapan tahun lalu.

Wanita berkenaan sudah bercerai dan terputus hubungan dengan bekas suaminya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika dihubungi berkata, kedua-dua mangsa sudah dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan kini mendapat perlindungan JKM sementara menunggu siasatan selesai.

"Kedua-dua mangsa masih trauma dengan kejadian itu dan akan ditempatkan di pusat perlindungan kanak-kanak. Ketika sesi temuramah, kedua-dua mangsa menceritakan kejadian yang berlaku dengan teliti mungkin disebabkan usia mereka masih terlalu muda dan tidak faham apa yang berlaku.

"Kami akan memberikan khidmat kaunseling dalam tempoh terdekat bagi membantu mereka," katanya.

Sumber: Harian Metro

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS