Berita

SAMUN DUIT KEDAI SATU HAL, SANGGUP PULA PUKUL RAKAN SEKERJA SAMPAI CEDERA

Kuala Lumpur, 6 Disember 2017 - Seorang remaja berumur 17 tahun tidak sempat menikmati hasil samun, apabila ditahan sejurus melakukan jenayah itu di sebuah kedai serbaneka di Damansara Damai dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 9.15 malam itu, remaja lelaki yang juga pekerja di kedai itu masuk ke stor dan berbual-bual dengan rakan sekerjanya berusia 24 tahun, sebelum memukul wanita itu yang sedang mengira wang, menggunakan besi.

Dia cuba melarikan wang lebih RM10,000.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata suspek kemudiannya ditahan oleh orang awam sebaik saja keluar dari stor berkenaan.

"Pekerja wanita itu cedera di kepala dan badan. Polis turut merampas besi yang digunakan suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan ke atas suspek yang berasal dari Jertih, Terengganu itu didapati negatif dadah dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Sumber: Berita Harian Online

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS