Berita

WAR AGAINST DRUGS: PENGANTIN BARU TOKAN GANJA DITAHAN POLIS DI BATU PAHAT

Batu Pahat, 6 Disember 2017 - Polis menahan sepasang pengantin baharu susulan penemuan 23.7 kilogram (kg) ketulan ganja mampat dianggarkan bernilai RM72,000 dalam bilik mereka, di Sungai Dulang Darat Rengit, dekat sini, kelmarin.

Pasangan berusia 26 dan 24 tahun itu ditahan selepas 24 ketulan ganja ditemui disembunyikan dalam tiga kotak berasingan yang diletakkan bersama longgokan hadiah perkahwinan mereka.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata pasangan itu berkahwin Oktober lalu dan baru mengadakan majlis resepsi mereka minggu lalu di kediaman pengantin lelaki.

Katanya, turut ditahan dua lagi suspek yang juga adik perempuan dan sepupu pengantin lelaki yang berusia 24 dan 23 tahun.

"Pengantin lelaki adalah suspek utama dan ketua sindiket Geng Doyok yang aktif mengedar ganja sejak tujuh bulan lalu untuk pasaran daerah ini dan Pontian.

"Hasil pemeriksaan lanjut di dalam bilik pengantin berkenaan menemui 24 ketulan ganja mampat berbalut plastik lutsinar seberat 23.7 kg dan dianggarkan bernilai RM72,000.

"Ujian saringan air kencing dua suspek lelaki iaitu pengantin lelaki yang juga pemandu lori serta sepupunya turut positif dadah, namun keempat-empat mereka tiada sebarang rekod kesalahan lampau.

"Polis turut merampas sebuah kereta Proton Wira dan wang tunai RM300 milik suspek utama. Kita dalam usaha mengesan akaun milik kesemua suspek untuk tindakan lanjut, " katanya.

Abdul Wahib berkata, kesemua suspek ditahan reman seminggu sejak semalam sehingga Isnin depan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Katanya, ganja berkenaan dipercayai diperoleh sindiket berkenaan dari Thailand diseludup masuk dan diedarkan di sini.

Beliau berkata, penahanan empat suspek serta rampasan 23.7 kg ketulan ganja mampat itu adalah antara kejayaan terbesar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, tahun ini, selepas lima bulan risikan dibuat.

Sumber: Berita Harian Online

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS