Berita

MAYAT KANAK-KANAK HILANG DITEMUI


Rompin, 27 Disember 2017 - Mayat seorang kanak-kanak yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Kuala Sungai Pontian, Kuala Rompin di sini, semalam ditemui kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mayat, Nik Hafizuddin Nik Aziz,12, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 150 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

"Mangsa dilaporkan hilang jam 3.45 petang semalam ketika mandi di kawasan kuala sungai itu bersama-sama rakannya. Mangsa kemudiannya dipercayai gagal menyelamat diri berikutan arus ombak yang kuat.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Operasi SAR dilancarkan sejak petang semalam membabitkan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Balai Bomba dan Penyelamat Rompin serta turut dibantu orang awam.

Azli berkata, berdasarkan keterangan bapa mangsa, Nik Aziz Nik Musa anak keempat daripada enam beradik berkenaan keluar bersama-sama abangnya, Nik Saifuddin, 15, dan empat rakannya ke pantai dengan menaiki motosikal.

"Ketika mandi, abang serta rakan-rakannya mendengar jeritan mangsa meminta bantuan, mereka serta orang awam cuba membantu, namun gagal.

"Mereka yang terselamat ialah Nik Saifuddin, Mohamad Adam Danial Kuling,13, Mohd Fitri Mohd Zaini,12, Mohd Hafizudin Ali,12, dan Mohd Hazim Suhaimi,15," katanya. – BERITA HARIAN ONLINE

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS