Berita

POLIS MOHON ORANG RAMAI KESAN DUA LELAKI DIKEHENDAKI


Johor Bahru, 27 Disember 2017 - Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan dua lelaki yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes curi kenderaan.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, seorang daripada mereka adalah Yeo Yong Kuang @ Yong Kwang yang memiliki kad pengenalan bernombor 840419-01-5431 dan beralamat terakhir di nombor 2, Jalan Hulubalang 3, Taman Ungku Tun Aminah, di sini.

Beliau berkata, seorang lagi adalah Khoo Tze Kei @ Ah Khai memiliki kad pengenalan bernombor 810511-12-6145 dan beralamat terakhir di Kampung Bikang, Jalan Silabukan, Lahad Datu, Sabah.

"Yeo mempunyai lapan waran tangkap termasuk berkaitan curi kenderaan dan cubaan membunuh serta terlibat dalam lima kes curi kereta mewah sepanjang tahun ini. Khoo pula mempunyai enam waran tangkap berkaitan curi kenderaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Khalil berkata, polis sehubungan itu meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi ASP Wong Chee Mean di talian 07-2232222 untuk sebarang maklumat.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khalil berkata polis menahan tiga lelaki berumur 26 hingga 53 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes bunuh ke atas seorang lelaki di sebuah kilang di Pasir Gudang, 17 Dis lepas.

Beliau berkata kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap si mati yang dituduh mencuri barangan milik kilang.

"Pada 17 Dis, satu mayat lelaki berumur lingkungan 54 tahun ditemukan dalam pondok pengawal keselamatan di sebuah kilang. Si mati dijumpai dalam keadaan terbaring dengan kesan lebam di bahagian muka dan belakang badan.

"Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematiannya adalah disebabkan 'blunt force trauma to the torso'," katanya.

Menurut Mohd Khalil, kertas siasatan sudah dirujuk kepada pihak pendakwaan yang mana seorang daripada yang ditahan akan dituduh di Mahkamah Majistret mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, esok, manakala dua yang lain dibebaskan sebagai saksi pendakwaan.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS