Berita

HINA POLIS DALAM FB: PENAMA FB ‘TOK UBAN’ DIHADAP KE MAHKAMAH KERANA LAPORAN POLIS PALSU

SUNGAI BESAR: Padah membuat laporan polis palsu mendakwa akaun Facebooknya digodam, seorang pengawal keselamatan sekolah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sabak Bernam di sini, hari ini.

Tertuduh, Shahrul Nizam Maskor, 39, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azali Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, dia yang juga bapa kepada empat anak, didakwa membuat laporan polis palsu dengan mengatakan akaun Facebook miliknya bernama Tok Uban digodam dan disalah guna oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Dalam laporan itu, dia menafikan memuat naik komen jelik terhadap Perdana Menteri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih enam bulan atau denda sehingga RM2,000.

Timbalan Pendakwa Raya, Saphirra Selamat, yang mengendalikan kes itu mengesyorkan ikat jamin sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, M Saravanan, memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan Shahrul hanya berpendapatan RM1,500 sebulan selain perlu menyara empat anaknya yang masih bersekolah.

Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan kes disebut semula pada 3 Mei ini.

Difahamkan, tertuduh akan didakwa di Mahkamah Majistret Klang esok, atas pertuduhan memuat naik komen jelik berkenaan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bacaan lanjut di https://www.bharian.com.my/…/405006/laporan-palsu-bawa-padah

 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS