Berita

SINDIKET TIPU PENCEN ILAT PERKESO


Kuala Lumpur, 29 Mac 2018 – Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket penipuan tuntutan Pencen Ilat atau pampasan kepada pekerja yang mengidap keilatan atau kematian akibat dari sebarang sebab yang tidak mempunyai kaitan dengan pekerjaan mereka daripada  Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan empat syarikat insurans baru-baru ini.

Pengarah JSJK, Dato’ Sri Amar Singh Ishar Singh dalam satu sidang media di Menara 238 pagi tadi berkata, pihaknya telah melancarkan Op Ilat bagi menyiasat kes ini setelah pihak PERKESO mula membuat laporan polis ekoran terkesan dengan kegiatan penipuan tuntutan palsu ini sejak September 2016.

“Hasil dari siasatan, seramai lapan lelaki dan dua wanita yang mempunyai hubungan antara satu sama lain telah berjaya ditahan dan salah seorang daripada mereka merupakan pengerusi satu badan kebajikan di Sepang yang dipercayai perancang utama sindiket ini,” katanya.

Dato’ Sri Amar Singh memaklumkan bahawa modus operandi sindiket adalah mengemukakan permohonan kepada pihak PERKESO dan insuran bagi mendapatkan Pencen Ilat dan tuntutan insurans dengan memanipulasikan laporan perubatan.


Tambahnya lagi, PERKESO telah mengalami kerugian sebanyak RM1.2 juta dan jika tiada tindakan dibuat untuk menangani kes-kes ini dari segi jangka masa panjang, PERKESO akan mengalami kerugian sebanyak RM12 juta untuk membayar pencen ini seumur hidup.

Dalam pada itu, empat syarikat insurans telah menjadi mangsa sindiket ini dengan kerugian sebanyak RM1.2 juta beserta cubaan menipu dengan melibatkan nilai RM2.5 juta.

Di dalam sidang media hari ini juga, beliau telah mengumumkan kejayaan JSJK menahan dua orang suspek yang dikehendaki dalam membantu siasatan bagi kes penipuan  pelaburan Forex yang dikenali sebagai FX United dengan membabitkan kerugian berjumlah RM6.2 juta pada Februari lalu.

“Kedua-dua  suspek yang merupakan pasangan suami isteri dipercayai melarikan diri ke negara jiran semasa serbuan dijalankan pada Februari lalu telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik sahaja kembali ke negara ini hasil daripada maklumat awam,” katanya lagi.

“Sehubungan dengan tangkapan tersebut, kesemua suspek yang telibat telah berjaya ditahan dan pihak polis memohon kepada semua pengadu yang telah membuat laporan polis untuk tampil memberikan kerjasama bagi melengkapkan siasatan,” akhiri beliau.
 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS