Berita

PGA PERHEBAT AKTIVITI KEMASYARAKATAN


Ipoh, 12 April 2018 - Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) akan memperhebatkan program 'community policing' dalam usaha memperkukuh jalinan antara anggota pasukan itu dengan masyarakat.

Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Mohd Shahar Ibrahim berkata, dari masa ke masa, pihaknya akan mengatur beberapa lagi aktiviti kemasyarakatan melibatkan penyertaan komuniti setempat.

Menurutnya, antara yang dirancang dalam tempoh terdekat ini adalah solat Jumaat bersama kariah di masjid terpilih dalam Parlimen Tambun juga penyampaian 200 naskah surah Yasin yang disumbangkan anggota kem PGA sendiri.

“Pada April ini juga, kita telah merangka satu program gotong-royong di tanah perkuburan di Tambun serta lawatan kebajikan ke kediaman balu dan pesara polis yang terlantar sakit,” katanya ketika ditemui sempena Lawatan Kebajikan Hospital sempena Peringatan Hari Polis ke 211 di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam.

Hadir sama, Timbalan Komander Briged Utara, Asisten Komisoner Chong Kok Sin; Pengerusi Perkep Briged Utara PGA, Hasna Alibin dan Timbalan Pengarah Perubatan HRPB, Dr Nordin Nasir.

Sebanyak 80 hamper diserahkan kepada kanak-kanak di wad 6A dan 5D.

Mohd Shahar berkata, kerjasama dijalin dengan hospital bukan suatu yang asing bagi PGA apabila Mac lalu, satu kempen derma darah dilakukan bagi mengisi keperluan unit tabung darah hospital.

Katanya, seramai 117 warga kem terlibat dalam kempen itu meskipun ada kalangan pegawai dan anggota terlibat dalam Op Wawasan di Kedah dan Perlis.

“PGA akan sentiasa libatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan seperti ini bagi merealisasikan budaya masyarakat penyayang,” katanya. – SINAR HARIAN ONLINE

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS