Berita

POLIS TEMUI SENAPANG PATAH, PELURU, SYABU


Rawang, 12 April 2018 - Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita di sebuah rumah di Jalan Hijau 6/11, Bandar Tasik Puteri, dekat sini, Isnin lalu, selepas menemui selaras senapang patah dan satu paket syabu di kediaman mereka.

Dalam serbuan kira-kira jam 10.30 pagi itu, polis turut menemui empat peluru dan sebatang paip PVC yang diubahsuai seperti senjata api.

Sumber berkata, serbuan dijalankan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Gombak selepas menerima maklumat berhubung kegiatan seorang lelaki yang mencurigai.

"Berdasarkan maklumat yang kami terima, sepasukan polis dari Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Gombak membuat pemantauan di kediaman suspek sebelum memperkenalkan diri dan memaklumkan tujuan pemeriksaan.

"Ketika serbuan, terdapat seorang lelaki dan seorang wanita di rumah berkenaan. Pemeriksaan lanjut menemui satu paket serbuk putih dipercayai dadah jenis syabu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, lebih mengejutkan, ketika pemeriksaan di kediaman suspek, pihaknya menemui selaras senapang patah bersama empat peluru.

"Turut dijumpai sebatang paip PVC berwarna kelabu yang diubahsuai menyerupai senjata api. Pihak kami merampas semua barang yang ditemui dan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gombak untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua individu di dalam rumah berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api tanpa lesen.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad mengesahkan tangkapan berkenaan.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta memasukkan dadah ke dalam badan," katanya. – BERITA HARIAN ONLINE

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS