Berita

TIGA SEKAWAN SUSPEK EDAR DADAH


Maran, 12 April 2018 - Kegiatan tiga sahabat dipercayai pengedar dadah kecil-kecilan terbongkar apabila ditahan bersama syabu bernilai RM23,527 di hadapan kedai makan di Bandar Pusat Jengka, Maran, malam tadi.

Dalam serbuan 11.30 malam itu, ketiga-tiga suspek berusia 26 hingga 36 tahun diberkas sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran hasil maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, semua suspek diberkas dalam kereta selepas gagal melarikan diri kerana dikepung sepasukan anggota polis.

"Polis yang menjalankan pemeriksaan di dalam kereta dinaiki suspek menemui beg bimbit sebelum mendapati mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah syabu seberat156.85 gram," katanya ketika dihubungi, di Maran, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barangan lain seperti jaket, telefon bimbit, beg bimbit dan wang tunai dipercayai hasil daripada kegiatan haram berkenalan.

"Bagaimanapun, ujian awal saringan air kencing mendapati suspek yang bekerja sebagai peniaga, tukang kayu dan buruh ladang didapati bebas daripada dadah.

Katanya, polis masih menyiasat sama ada suspek dipercayai baharu mendapatkan bekalan bahan terlarang itu atau hendak menghantar kepada pengedar lain.

"Semua suspek ditahan reman selama dua minggu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952. – HARIAN METRO ONLINE

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS