Berita

PERHIMPUNAN ATAU PERARAKAN BERKAITAN PRU KE-14 TIDAK DIBENARKAN - POLIS

Melaka, 9 Mei 2018 - Polis hari ini mengingatkan para penyokong parti politik di negara ini agar tidak menganjurkan atau terlibat dalam sebarang perarakan atau perhimpunan berkaitan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) malam ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata ini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini termasuk provokasipenyokong parti yang bertanding.

"Polis tidak membenarkan sebarang perhimpunan atau perarakan sama ada untuk meraikan kemenangan atau apa juga aktiviti berkaitan PRU.

"Perkara ini akan diberi perhatian dan semua Ketua Polis negeri juga telah dimaklumkan," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru di sini.

Turut hadir Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Jalil Hassan.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata penyokong parti politik disaran menunggu keputusan pilihan raya di rumah masing-masing kerana ia lebih selesa.

Sementara itu, beliau berkata proses pengundian di semua pusat mengundi seluruh negara berjalan lancar tanpa sebarang gangguan, setakat 2 petang tadi.

"Kita mempunyai anggota dan pegawai yang mencukupi untuk mengiring peti-peti undi ke pusat pengiraan undi selepas tamat tempoh mengundi pada pukul 5 petang ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung calon parti menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali dipercayai dari luar negara setakat jam 2 petang tadi.

Katanya calon yang menerima panggilan berkenaan dinasihatkan membuat laporan bagi membolehkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menjalankan siasatan dan sekiranya terdapat unsur jenayah kes berkenaan akan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sumber: BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS