Berita

AHLI KOPERASI PDRM TERIMA DURIAN RUNTUH

AHLI KOPERASI PDRM TERIMA DURIAN RUNTUH

Kuala Lumpur, 10 Julai 2018 – Ahli Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) Berhad menerima durian runtuh apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun mengumumkan kadar dividen KPDRM Berhad bagi tahun kewangan 2017 adalah sebanyak 13 peratus dan akan dibayar pada 11 Julai ini secara berperingkat.

Berita gembira itu diumumkan oleh Tan Sri Mohamad Fuzi dalam ucapan perasmiannya di Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan KPDRM Berhad Kali ke–83 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Hotel Kuala Lumpur International, dekat sini, pagi tadi.

Dalam pada sama, beliau selaku Yang Dipertua KPDRM turut mengumumkan perlantikan Dato’ Sri Ayub Haji Yaakob sebagai Pengerusi KPDRM yang baharu bagi penggal 2018/2019 menggantikan Tan Sri Hussin Haji Ismail manakala jawatan Timbalan Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari masih dikekalkan oleh penyandang sedia ada.

“Melihat kembali pencapaian serta usaha-usaha yang telah kita laksanakan sepanjang tahun lalu, diharap perjumpaan ini dapat membuka ruang kepada kita untuk mengatur gerak kerja yang lebih holistik bagi menempuh cabaran masa akan datang,” tambahnya lagi.

KPDRM Berhad berjaya mencatatkan peningkatan prestasi keuntungan bersih sebanyak 4 peratus meletakkannya di kedudukan yang cemerlang iaitu di tangga ke-9 diantara 100 koperasi terbaik di Malaysia bagi tahun 2017.

Beliau turut menyarankan agar setiap anggota PDRM memiliki insurans berkelompok KPDRM selain merebut peluang keemasan melabur dalam skim ASB i-KOP yang menawarkan peluang pelaburan berpotensi tinggi.

Hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Dr. Noor Zari Hamat, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA) merangkap Timbalan Pengerusi KPDRM Berhad, CP Dato’ Sri Zulkifli Abdullah, Setiausaha KPDRM Berhad, Dato’ Zulkapli Ahmad, Timbalan Pengarah II Jabatan Sumber Strategik Dan Teknologi (StaRT) selaku Bendahari KPDRM Berhad, SAC Dato’ Nerita Yaacob, barisan para pengarah PDRM, pegawai-pegawai kanan PDRM dan ahli-ahli KPDRM Berhad.

0S4A2657
Sesi bergambar kenangan.

0S4A2592
Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun menyampaikan ucapan perasmian.

0S4A2580
Pengerusi KPDRM Berhad, Tan Sri Hussin Haji Ismail menyampaikan ucapan.

0S4A2631
0S4A2625
0S4A2621
Sesi penyampaian cek sumbangan dan cek pampasan insuran kepada balu pencarum insuran KPDRM Berhad.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS