Berita

39 TAHUN PERKHIDMATAN, SELAMAT BERSARA PENGARAH PENGURUSAN PDRM

Kuala Lumpur, 20 Julai 2018 – Setelah hampir 39 tahun menabur bakti dalam dunia kepolisan, Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), CP Dato' Sri Abdul Ghafar Rajab akhirnya akan menamatkan perkhidmatannya sebagai seorang penjawat awam bermula 23 Julai ini.

Sebagai tanda penghargaan di atas jasa beliau selama ini, satu Majlis Paluan Berundur sempena persaraannya telah diadakan di Dataran Padang Kawad Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini, melibatkan seluruh warga PDRM khususnya dari Jabatan Pengurusan, Bukit Aman sendiri.

Menyingkap kembali sejarah Dato' Sri Abdul Ghafar dalam PDRM, beliau telah memulakan kariernya sebagai seorang Inspektor Percubaan pada 15 April 1979. Nama beliau begitu sinonim dengan Jabatan Pengurusan sehinggalah beliau menerajui jabatan itu sendiri sebagai pengarah yang ke-23 bermula 25 Julai 2017 lalu dengan pangkat Komisioner Polis (CP).

Beliau juga terkenal sebagai seorang yang mempunyai pengalaman meluas dalam dunia kepolisan hasil pengalaman yang diraihnya daripada pelbagai jawatan disandangnya sepanjang menelusuri jalan kemuncak kariernya kini. Antaranya, beliau pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Kontinjen Kedah, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran), Ketua Polis Kontinjen Pulau Pinang dan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman.

Di atas perkhidmatan cemerlang yang dipamerkan dalam menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai seorang Pegawai Kanan Polis, beliau telah dianugerahkan beberapa pingat daripada Kerajaan Negeri dan Persekutuan seperti Pingat Jasa Kebaktian (PJK) Terengganu pada tahun 1993, Darjah Setia Diraja Kedah (SDK) dan Pingat Panglima Setia Pasukan Polis (PSPP) pada tahun 2009, Darjah Setia Diraja Kedah (DSDK) pada tahun 2011, Darjah Johan Setia Mahkota (JSM) pada tahun 2012, Darjah Johan Mangku Negara (JMN) dan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) Pulau Pinang pada tahun 2016.  Beliau turut dianugerahkan pingat Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP) dan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) pada tahun 2017.

Anak jati Pontian, Johor Darul Ta’zim itu telah mendirikan rumah tangga bersama isteri tercinta, Datin Sri Noorfajariah Abdul Rahman dan dikurniakan tujuh orang cahaya mata iaitu tiga orang putera serta empat orang puteri. Dua daripada anak lelaki beliau kini mengikuti jejak langkahnya sebagai pegawai kanan polis.

Majlis bersejarah yang berlangsung penuh sederhana tadi turut dimeriahkan dengan persembahan khas oleh Pancaragam Pusat PDRM di bawah pimpinan Ketua Pengarahnya, Superintendan Dr. Mohd Mohd Nor Firdaus Abdullah.

Kemuncak majlis petang tadi adalah apabila buat kali yang terakhirnya, Dato' Sri Abdul Ghafar dan isteri diarak dengan penuh bangga menaiki kenderaan istiadat khas dengan ditarik oleh para pegawai kanan dari Dataran Kawad sehingga ke Balai Pengawal PULAPOL Kuala Lumpur untuk meninggalkan majlis.

Terdahulu di sebelah pagi, telah diadakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, PULAPOL Kuala Lumpur, istiadat penganugerahan pingat pingat kepada 101 orang pegawai dan anggota PDRM yang telah banyak menabur jasa kepada pasukan negara itu telah disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun.
 
Majlis kemudiannya diteruskan dengan upacara Serah Terima Tugas Pengarah Pengurusan dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Pengurusan serta Pengarah JIPS yang mana menyaksikan Pengarah JIPS, Dato’ Asri Yusoff  dilantik sebagai peneraju Pengarah Pengurusan yang baharu, manakala jawatan terdahulu beliau di sandang oleh Dato’ Zamri Yahya yang sebelum ini menjawat jawatan Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman.

Majlis pada hari ini turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Sri Noor Rashid Ibrahim, barisan pengarah PDRM, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, SAC Dato’ Zaini Jass, pegawai-pegawai kanan PDRM, ahli-ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP), tetamu jemputan dan rakan-rakan media.


Pengarah Pengurusan, Dato' Sri Abdul Ghafar Rajab menandatangani buku pelawat.


Bergambar kenangan.

0S5A4917 copy
Pengarah Pengurusan, Dato' Sri Abdul Ghafar Rajab menaiki kenderaan istiadat bersama Datin Sri Noorfajariah Abdul Rahman.

0S5A4559 copy
Sekitar persembahan daripada pancaragam PDRM.

0R9A3751
Pengarah Pengurusan, Dato' Sri Abdul Ghafar Rajab bersama isteri Datin Sri Noorfajariah Abdul Rahman bergambar kenangan.


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS