Berita

POLIS TERENGGANU BURU TIGA LELAKI

KUALA TERENGGANU 25 Julai - Polis negeri ini sedang menjejak tiga lelaki bagi membantu menyelesaikan kes penipuan pelaburan pencairan dana asing yang tidak wujud membabitkan kerugian sebanyak RM4.4 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan Mohd Rawi Abdul Ghani memberitahu, mereka yang dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa kes di tiga daerah di negeri ini sejak 2012 masih berada dalam negara kerana sudah disenarai hitam daripada meninggalkan negara ini.

Katanya, aktiviti penipuan dipercayai didalangi Radzuan Othman @ Deraman, 38, beralamat di Lot Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit dekat sini terbongkar selepas pihaknya menerima empat laporan di daerah ini, Dungun dan Kemaman.

“Dua lagi yang menjadi buruan polis ialah Shoib Moin, 61, beralamat di Pangsapuri Tanjong Merdeka Villa, Ampang, Selangor dan Yahaya Yahir ( Ustaz Yahaya), 54, dari Kampung Sungai Ular, Kuantan, Pahang,”ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan, pihaknya mula menerima laporan berhubung penipuan pada 2012 apabila mangsa di Cukai, Kemaman mendakwa kerugian sebanyak RM200,000 sebelum dikesan menipu seorang lagi mangsa di sini sebanyak RM900,000, dua tahun kemudian.

“Kumpulan itu kemudiannya mengaut keuntungan sebanyak RM2 juta pada 2016 di Paka, Dungun dan RM1.3 juta lagi (2017), di daerah ini.

“Modus operandi mereka ialah menghubungi atau mendekati kalangan mangsa yang dikenali bagi menceritakan perolehan berskala besar membabitkan keuntungan terhadap pelaburan yang sebenarnya tidak wujud.

“Mangsa yang berjaya dipengaruhi kemudian diminta memasukkan wang ke akaun suspek secara berperingkat namun tiada keuntungan diperoleh,” katanya.

Mohd Rawi memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan suspek terbabit bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di samping dapat mengelak lebih ramai yang menjadi mangsa

Bacaan lanjut di Utusan.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS